Gangguan demi gangguan sudah aku tempuh. Sakit dan perit aku telan
semuanya. Lantaklah apa yang akan terjadi selanjutnya, selagi aku hidup
kerana Allah, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Aku kena kuat
hadapi ujian ni.
Kawasan perumahan aku sudah menjadi laluan dan tempat persinggahan
makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, senang aku katakan
sebelah tepi luar pagar rumah aku tu terdapat kawasan hutan, semak dan
paya. Di kawasaan tersebut mungkin tiada apa-apa yang menarik perhatian
orang, namun yang menariknya bagi aku, apabila mengetahui ada kewujudan
makhluk lain selain daripada manusia. Apa yang menariknya disana? Yang
menariknya disana ialah terdapat sebuah perkampungan bunian.
Aku kerap bermimpi bertemu dengan orang-orang yang sangat cantik dan
tampan serta kerap kali aku bermimpi singgah ke perkampungannya. Pada
mulanya aku cuma menganggap mimpi ni hanya mainan tidur, namun yang buat
aku sedar tentang mimpi ni ialah selalu kerap bermimpi dilokasi yang
sama. Aku selalu abaikan mimpi-mimpi tersebut sehinggalah suatu hari aku
mengalami gangguan dan kemunculan kelibat seseorang di dalam rumah aku.
Aku cuba bertanya seorang ustaz yang arif tentang ilmu perubatan
islam. Ustaz atau lebih senang aku gelarkannya sebagai tok guru yang aku
temui ini mempunyai salahsilah keturunan ulamat yang terulung suatu
masa dahulu. Berwajah tenang dengan ilmu penuh didada hanya melihat
pesakit sudah mengetahui sikap kelakuan, kebolehan dan gangguan yang
dialami. Katanya ada makhluk dari alam bunian nak berkawan dengan aku
dan nak bawa aku tinggal bersama dengannya tapi dalam pada masa yang
sama ada juga gangguan lain dari luar.
Aku cerita serba sedikit mungkin ianya kurang menyeramkan. Jadi
sebelum tu, jangan kecam kisah yang aku nak kongsikan ni! Aku selalu
perasan setiap kali aku bersendirian dalam rumah mesti akan ada
kedatangan makhluk ghaib ni muncul menunjukkan rupanya. Tak kira
perempuan atau lelaki. Muda atau tua. Dari luar aku nampak kelibat orang
berjubah putih melambai-lambai tangannya kearah aku. Kekadang
berlari-lari terus ghaib dicelah-celah pohon.
Seperti biasa aku abaikan semua tu. Langsung aku tak ceritakan pada
sesiapa. Aku ingat lepas buang saka, semua akan jadi sedia kala, maksud
aku dah bebas dari gangguan luar. Tapi semuanya makin teruk! Hijab mata
aku, makin galak menunjukkan rupa setiap makhluk yang cuba mendekati
aku. Sehingga kini aku masih lagi boleh lihat dengan jelas dan
berkomunikasi dengan benda ni tapi aku lebih senang menjauhi dan berdiam
diri kalau terserempak.
Malam itu aku bermimpi masuk ke alam perkampungan diorang. Kerap kali
aku ke sana menerusi mimpi. Aku terangkan serba sedikit keadaan kat
sana. Di alam diorang sedikit sejuk serta berkabus dan langit dialam
diorang keakan-akan mendung tetapi tidak hujan (redup). Diorang ni hidup
berkeluarga sama seperti kita.
Yang menganehkan, keadaan kampung mereka itu seperti perkampungan
tradisional Melayu. Malah suasana di perkampungan diorang sangatlah
tenang dan damai. Mereka juga mempunyai banyak pokok buah-buahan. Pokok
buah diorang buat aku jadi bingung, kalau kau petik buah dari pokok
tersebut kemudian kulit serta biji kau campak di atas tanah dengan
tiba-tiba tumbuh pula pokok yang baru. Pokok buah-buahan yang ada, tanpa
disedari lepas aje kau petik buahnya, ia akan hilang. Mungkin korang
sukar nak terima kisah aku ini. Tapi inilah kenyataan yang aku alami di
alam diorang.
Rupa paras serta fizikal diorang boleh dikatakan sama seperti manusia
macam kita, malah lebih cantik dan kacak berbanding dengan manusia
biasa. Kaum wanita dikatakan amat cantik, berkulit putih lagi halus dan
semuanya mengenakan tudung yang labuh. Kalau di sini kebanyakan manusia
yang kau nampak, mesti akan ada salah sorang yang tergolong sebagai
wanita yang paling cantik yang mendapat gelaran ‘miss world’ tapi kalau
di alam bunian pula secantik-cantik rupa manusia, itulah seburuk-buruk
rupa bunian di alam mereka. Maksudnya, ada lagi wanita yang lebih cantik
lagi dialam mereka. Manakala kaum lelaki pula bertubuh sasa dan tegap
serta berkulit kuning langsat.
Tulisannya pulak, boleh dikatakan agak unik. Dari kesimpulan aku, aku
merasakan diorang ni menggunakan tulisan jawi purba. Agak sukar untuk
aku baca. Aku sendiri pun tak berapa faham tapi aku selalu perhati dan
cuba ingat setiap tulisan diorang. Ada masa aku catat setiap tulisan
jawi yang terbayang dikepala (Maaf, catatan tu aku terpaksa rahsiakan).
Benda yang selalu aku perhatikan bibir atasnya di bawah hidung diorang
semuanya dalam keadaan rata, tidak ada lekuk mahupun garis seperti kita.
Mungkin inilah perbezaan bunian dengan kita.
Masa aku balik rumah kerap jugak aku nampak budak kecil berlari-lari
dalam kawasan rumah aku. Bila aku perhati balik, tak nampak pula kelibat
budak yang main lari-lari tadi. Masa ni aku tak hiraukan lagi kewujudan
makhluk ghaib ni, walaupun sering kali terserempak dengan benda ni.
Lagi misteri gangguan yang aku terima bila mak dan abah aku pergi
mengerjakan umrah hanya aku, angah, achik dan usu je yang ada kat rumah.
Pagi-pagi lagi aku dengar ada suara orang mengaji. Aku ingatkan salah
sorang adik-adik aku yang mengaji, namun semuanya meleset bila aku
tengok diorang membuta lagi diatas katil masing-masing. Aku cuba cari
radio barangkali budak-budak ni pasang keset ngaji tapi radio langsung
tak on.
Aku cuba cari suara tersebut, masyaAllah merdunya bacaannya buat aku
teringat pada abah yang sedang mengerjakan umrah masa tu, yelah biasanya
pagi-pagi lagi abah mengaji, aku pula waktu tu baru nak buka mata dari
tidur. Akhirnya, aku tahu dari mana suara tu muncul, rupanya dari bilik
hujung kat bawah, tempat abah selalu mengaji selepas solat subuh dan
maghrib. Bila aku buka pintu bilik bawah itu, gelap. Buat aku rasa tak
faham lagi, kenapa bilik ni semerbak bau minyak attar? Lagi mengejutkan
bila buka lampu bilik, aku nampak ada sorang lelaki tua yang lengkap
berjubah dan berserban putih. Tergamam sekejap bila lihat lelaki tua
tersebut dan tak semena-mena orang tua itu hilang secara tiba-tiba dan
bau minyak attar pun terus hilang.
Aku tutup lampu bilik itu dan terus pecut dapatkan adik-adik aku.
Sampai kat bilik diorang, tak sempat nak brek dengan selamba aku lompat
naik atas katil diorang. Aku tak kira dah kalau terhempap manusia yang
tengah syok tidur atas katil ini. Aku cuak dan cemas. Kecoh bunyi
adik-adik aku bising barangkali diorang rasa kesakitannya. Siapa suruh
bangun lambat. Rasakan azab lambat solat subuh. Ahh. Terketor-ketor
kepala lutut kau. Skru lutut aku barangkali semua tercabut. Kepala dah
kembang mengembang dah. Apa yang diorang membebel aku tak hirau yang aku
nak tahu sangat siapa lelaki tua berjubah putih dan berserban tu?
Khadam ke tu? Jin islam ke? Atau. Penghulu bunian? Risau gila aku masa
tu.
Aku ceritakan kepada angah, achik dan usu tapi diorang tak percaya.
Katanya mana ada hantu, lagi pun dah pagi kot. Aku terdiam, ada betul
juga tapi nak kata aku mengigau ehhh, aku sedar masa tu. Ish, aku hempuk
juga diorang ni! Susah betul diorang nak percaya apa yang aku cakap!
Terbayang-bayang balik bila terserempak dengan lelaki tua tersebut.
Disebabkan rasa cemas belum lagi reda, mana diorang pergi aku ikut. Aku
tak kira apa pun alasannya, aku tak nak bersendirian dirumah. Kalau kena
ganggu biar kena sama-sama.
Selain itu pernah juga aku ceritakan pada jiran aku tu, si brader
jong (bukan nama sebenar) zam merry aka zambri si pari-pari dan akak
kembar (kak nina dan kak nani) pasal terserempak dengan orang tua ni.
Lagi pula diorang pernah kongsi pengalaman diorang pada aku, masa tu aku
baru je tinggal kat sini. Teruk juga diorang ni kena kacau. Sekarang
dah kalis dah katanya. Korang nak tahu tak apa dia kata? “Apasal, kau
dik tak mintak sesuatu kat orang tua tu?” Soal Zam Mery tu. Bila aku
dengar je, terus berdesing telinga aku. “Dah kenapa pula aku nak kena
mintak sesuatu dengan orang tua tu?”, soal aku. “Alah, nanti boleh tarik
harta karun marun dari alam ghaib!”, selamber badak je budak ni
sembang. Kalau makk, makk pergi kejar pakcik tua tu, tau!”, beria-ria si
Zam Mery ni bercakap.
“Apa kau ingat dengan mintak sesuatu tu senang ke, hah?” Nanti tak
pasal-pasal aku terikat dengan makhluk ghaib ni. Bukan kau tak tahu
setiap yang diberi mesti akan ada pertukaran sebagai balasannya balik.
“Tak nak!”, laung aku pada Zam Mery. “Sedehh!”, balas Zam Mery dengan
pergerakan tangan diatas bahu. “Ceh, cakap besar. Ada hati nak kejar
pakcik tua tu! Silap hari bulan pakcik tua tu kejar kau balik! Baru
terkencing kau kat situ!”, sindir brader jong sambil akak kembar
gelakkan si Zam Mery tu. “Sibuk je ko nyah!”, bidas Zam Mery pada akak
kembar si Nani dan si Nina, terus hentikan gelak mereka.
Aku kalau boleh nak jauhi semua benda ni. Mata pun kalau boleh, tak
nak lihat langsung benda ni! Aku nak jadi seperti orang lain yang bebas
dari gangguan luar! Tapi dah macam cara aku cuba, masih jugak nampak!
Engkau kalau nak harta karun, marun berusaha kumpul harta tu sendiri.
Lebih-lebih lagi dengan hasil titik peluh kau sendiri. Barulah rezeki tu
diredhai oleh Allah. Ada jugalah keberkatan harta kau itu. “Bukan cara
kotor (syirik) macam ni!”, terang aku panjang lebar sebelum aku pergi
tinggalkan mereka semua kat situ.
Kebelakangan ini aku terlalu sibuk dan selalu balik lewat sikit dari
rumah. Aku pesan kat adik aku si angah ni lepas habis kerja terus ambik
achik dan usu bawak balik rumah. Sampai je rumah si angah ni seperti
biasa bagi salam bila nak masuk rumah, manakala adik-adik yang lain
sibuk angkat beg dan beberapa barang dapur yang si angah ni beli,
tiba-tiba ada orang balas salam si angah ni. Katanya suara yang balas
salam dia tu suara orang lelaki tua yang sedikit garau. Apalagi terus
diorang tak jadi masuk rumah. Mereka bertiga singgah ke rumah atuk.
Walaupun atuk dah tiada, rumah tu dihuni oleh mak long dan anaknya si
Zad.
Aku pula tak tahu apa-apa terus balik rumah. Sampai hati tak kasi
tahu kat aku. Hairan juga rumah bergelap je. Mana pula diorang pergi?
Masuk rumah siap kasi salam tak ada pula yang jawab. Aku mati-mati
ingatkan diorang bertiga balik lambat sebab keluar makan dulu ke apa.
Tunggu punya tunggu diorang tak balik-balik. Aku try call angah.
“Angah, apahal tak balik lagi ni? Ko ada kat mana?”, soal aku.
“Aku tak balik malam ni, tidur rumah atuk sebab ada something happen
sampai aku and the gengs cabut lari ke rumah tuk.” jawab angah padaku.
“Angah, apahal ko tak bagitahu aku, sampai hati ko biar aku
sekor-sekor kat sini. Ko tunggu sana, ko tunggu aku! Aku on the way ke
rumah atuk.” balas aku pada angah sambil tu tangan aku ligat capai kunci
dan galas beg.
Baru je nak turun tiba-tiba aku nampak kain putih seakan-akan
selendang, tergantung elok diatas siling. Kemudian ghaib. Aku yang
tadinya masih ada perasaan berani, terus jadi tak keruan. Maklumlah aku
sendirian di rumah. Seluruh jasad bagaikan terasa kejutan elektrik. Bila
terlampau takut dan campur pula perasaan terkejut, sememangnya aku akan
berasa begitu dan dalam masa yang sama, dalam kepala aku ligat nak
cabut lari serta keluar dari rumah ni.
Dah laa aku sorang-sorang je dalam rumah ni. Hati kecil aku berdebar
kencang. Cepat-cepat aku turun dari tangga dan berlari ke pintu. Masa ni
bau wangi makin lama makin kuat dan dekat dengan aku. Bau macam mana?
Bau macam bunga yang ada kat atas kubur tu. Ishh, aku tak tahu sangat
nama bunga tu, tapi lebih kurang bau dia macam tu laa. Kekadang bau
seakan-akan kapur barus pun ye juga.
Lampu aku biar terbuka nampaklah ada penghuni kat dalam. Tutup pintu.
MasyaAllah! Dah kenapa dengan aku ni..?? Silap pula, tercapai kunci
motor. Nak masuk balik memang tak laa. Helmet mana? Ahh, sempat pulak
aku cari helmet. Baru nak ke belakang rumah, aku terdengar suara garau
orang lelaki tua berdehem (dua kali berdehem) aku terpandang pulak
lelaki tua berjubah putih, berambut panjang beruban, sedikit membongkok
dan kelihatan menunduk kepala ke bawah (seakan-akan berzikir).
“Orang tua ni buat apa dalam kawasan rumah aku ni..?? Macam mana dia
masuk sini..? Tiba-tiba orang tua tu pandang tepat pada aku.
“Ahh..sudah..” lintang pukang aku lari dari situ. Takut punya pasal,
rasa nak pengsan pun ada juga. Tapi aku tahan dulu, jangan laa pengsan
kat sini, tunggulah sampai aku dah landing atas katil kat rumah atuk
nanti.
Tak fikir panjang, cepat-cepat aku start motor bawak keluar dan
mangga pagar. Merempit laa aku malam ni dengan motor tanpa helmet
dikepala. Biarlah nak kena kejar dengan polis pun, aku tak kisah dah,
dengan polis-polis aku herat sekali pergi ke rumah atuk aku (tahap
darurat gitu). Nasib aku kali ni baik, tak terserempak dengan polis
malam tu. Redah kawasan kampung, selamatlah tapi yang tak tahan, apasal
banyak sangat bonggol jalan? Akhirnya, sampailah aku kat rumah atuk aku.
“Argh, sakit pinggang aku, lama betul tak tunggang kuda ni!”
Cepat-cepat aku naik atas rumah dan berlari mencari angah, achik dan
usu. “Berani ko tinggal aku sorang-sorang kat rumah tu! Sebelum tu, aku
mintak ko rahsia je hal ni dari pengetahuan sesiapa, sampai mak dan abah
balik umrah, faham!” tegas aku sebelum diorang semua aku WWE kaw-kaw
punya! Geram betol aku masa tu, berani dia tinggalnya aku kat rumah
sorang-sorang!
Malam tu aku terserempak dengan 2 orang budak. Si abang dan si
adiknya pula perempuan, berlari-lari dalam rumah aku. Aku tanya diorang
dari mana sebab tak pernah aku nampak sebelum ni. Sudahlah comel. Si
abang bagitahu yang dia dari perkampungan sebelah. Datang nak bermain
kat sini. Aku terfikir sejenak. “Aik, bila masa pula ada perkampungan
kat sebelah tu? Setahu aku tempat tu, kawasan hutan yang dipenuhi semak
samun dan paya. Baru aku nak tanya, budak-budak ni dah hilang. Bila aku
intai kat luar rumah melalui tingkap, aku lihat si abang ni berpimpin
tangan si adik perempuannya sambil sebelah lagi melambai-lambai kat aku
yang tengah skodeng diorang ni. Terus aku terjaga dari tidur. “Ehh,
mimpi rupanya macam betul-betul je terjadi!”
Pagi-pagi lagi aku ajak adik-adik aku balik ke rumah. Motor, aku
tinggal je dulu kat sana. Sampai je rumah, semua berkeras dalam kereta.
Aku pandang angah, konon nak biar si angah masuk dulu, alih-alih dia
cakap ladies first sambil keningnya terconget ke atas. “Cehh, ingat aku
takut ke?” Aku bukan takut laa! Habis tu? Cuma tak berani je!” Nak tak
nak terpaksalah aku beranikan diri masuk dahulu ke dalam rumah. Sebelum
tu.. “Assalamualaikum”, sapa aku.. tiba-tiba.. “Waalaikumussalam”, balas
suara garau sedikit kepit-kepit. Aku yang cuak, mula menggelabah sambil
pejam mata rapat-rapat. Aku dengar si angah gelak sambil diikuti si
achik dan usu. “Hmmm, terkena lagi aku dengan diorang ni..!”
Malam tu lepas solat berjemaah, abah call dari mekah tapi kat sana
siang lagi. Aku dah pesan siap-siap kat adik-adik aku jangan bagi tahu
abah pasal hal ni. Tak nak buat diorang susah hati. Selesai sahaja lepas
rindu kat abah dan mak, kitorang berpakat tidur ramai-ramai kat ruang
keluarga. Dalam pukul 3 pagi macam tu laa aku terjaga dari tidur. Aku
bangun dan pergi ke tandas. Keluar je dari tandas aku nampak 2 orang
budak kecil. Lelaki dan perempuan berlari turun dari tangga macam
terkejut tengok aku keluar dari tandas. Tandas aku memang dekat dengan
tangga. Itu pasal aku nampak dengan jelas. Lihat dari susut tubuh
belakang budak-budak ni, aku mati-mati ingatkan si achik dan usu yang
turun tangga barangkali achik mintak usu temankan dia turun ke dapur
kut! Ini mesti sebab haus! Sesedap rasa aku buat andaian.
Tapi pelik pula aku rasa apasal lampu kat bawah tu diorang tak buka
masa turun? Tak gelap ke diorang ni nak pergi ke dapur? Memang kat bawah
tu gelap sangat sebab sebelum masuk tidur, kitorang tutup lampu tingkat
bawah tu, kalau cerah pun melalui lampu tangga je. Namun sangkaan aku
silap, bila aku lihat diorang masih tidur di tempat masing-masing. Terus
keras mata aku tak jadi nak tidur sebab teringat mimpi malam semalam.
Aku tarik selimut sampai tutup kepala. Sembunyi laa aku dalam
selimut. Baru aku perasan situasi ni sebiji macam mimpi aku tu. Dari
atas aku dengar seperti orang berlari-lari dari bawah. “Mesti kerja
budak 2 ekor tu. Anak makhluk manalah di biar merayap ke rumah aku
pagi-pagi buta ni?” Kalau budak 2 ekor tu jadi serangga, dah lama aku
pijak-pijak sampai mampus!” bisik hati geram aku. Mujur aku tak kejar
dan turun sekali. Kalau tak, tahu laa macam mana aku nak hadap benda
yang bukan manusia ni. Rumah 2 tingkat betul-betul buat aku tak selesa
bila kena gangguan macam ni. Masa ni aku siap fikir alangkah eloknya
kalau tinggal kat rumah teres yang lama dulu tu sebelum kitorang
berpindah ke rumah ni. Biarlah nampak kecil dan sempit pun, aku tak
kisah sebenarnya, bagi aku rumah tu tersangatlah selesa, asalkan aku tak
kena ganggu dengan benda ni. Tiba-tiba terasa meremang.. “Gulp..”
Aku pura-pura tidur. Kain selimut yang aku tarik naik sampai
dikepala, terasa ditarik perlahan-lahan ke bawah hingga wajah aku
terdedah. “Ish, siapa pula tarik selimut aku ni?” bisik dalam hati. Bulu
roma aku meremang bila aku rasakan pergerakan jari seseorang di tengkuk
aku. Aku dah rasa lain macam, tak berani pula aku nak tengok sapa dia.
Aku menepis tangan tersebut dan cuba baca apa yg patut di dalam hati.
Sejuk seperti mayat dan lembut tangan yang aku tepis tu. Aku pura-pura
menggaru-garu dan gerakkan badan aku merapati usu yang tidur disebelah
aku.
Tiba-tiba aku terasa pergerakan tangan seseorang mengusap kepala aku
dan bermain-main rambut aku. Aku tepis sekali lagi. Serius aku tak
berani nak berpaling dan lihat siapa disebelah aku ni. Disebabkan rasa
geram tidur aku terganggu, aku terus tengkingnya “Tak payahlah ganggu
aku tidur, aku tak kacau hidup kau pun, kang!”, sindir aku dengan mata
tertutup. Aku meraba-raba mencari selimut, dah dapat, aku capai, terus
aku tarik selimut hingga dikepala dan sembunyi diri kat dalam selimut
tersebut sehinggalah aku terlelap. Aku pun tak sedar bila benda ni blah
dari situ.
Sedar-sedar dah pagi. Aku bangunlah nak ambil kain tuala dalam bilik
tidur aku. Masa aku buka je pintu bilik tidur, terus aku nampak
perempuan pakai telengkung solat serba putih, elok je duduk kat atas
katil aku tu, siap mengadap kiblat! Sekali dia berpaling melihat aku,
tetiba perempuan ni tersenyum. Perghh, senyuman dia kalau lelaki lihat
mesti terkencing punya. Aku terus tak jadi nak masuk bilik. Aku siap
tutup balik pintu bilik tu berlari dapatkan adik-adik aku yang tengah
tergolek lena lagi kat ruang keluarga. Ingatkan nak kasi tahu kat
diorang pasal hal ni tup-tup aku tak jadi nak cerita kat diorang. Kecut
perut punya pasal laa ni. Tak terbayang aku, kalau kau buka mata, pusing
je sebelah ada perempuan bertelengkung solat, duduk sekatil dengan kau.
MasyaAllah..!! Meremang gilerr! Tak sanggup weyyh..
Ketukan pintu!
Malam keesokan harinya, selepas solat maghrib aku mengaji dan hafal
beberapa surah, sementara nak tunggu azan isyak masuk, angah bagitahu
pada aku yang dia nak keluar nak hantar achik ke kelas tuisyen manakala
si usu pula, petang tu juga mak long dah ambik usu tinggal dengan
diorang di rumah atuk. Aku izinkan usu tinggal di sana disebabkan masa
tu musim cuti sekolah, bolehlah diorang lepak-lepak dengan sepupunya
Mia, iaitu adik si Zad yang baru pulang dari asrama. Lagi pun sejak mak
dengan abah pergi buat umrah, aku perhatikan si usu ni banyak termenung
dan bermurang je. Tinggallah aku sesorang kat rumah. Selesai solat aku
ke ruang keluarga.
Sedang ralit aku layan game crisis action di hp (kat ruang keluarga)
sambil tu tunggu selesai download cerita di laptop tiba-tiba dari bawah,
aku dengar pintu diketuk dengan kuat. “Ishh kacau betul ler, rasanya
angah baru je keluar, takkan dah balik dah?” soal aku sambil off game di
hp. “Kebiasaannya angah lepak dengan member dia dulu sementara tunggu
nak ambil si achik tu balik.” agakku lagi. Aku cepat-cepat turun ke
bawah dan bergegas ke arah pintu.
“Dum.!! Dum..!! Dum..!! Dum..!!”
“Sabarlah woiii..aku nak bukalah ni..!! Kejap..kejapp..!!!”, laung aku kuat-kuat.
Sebelum buka, aku intai terlebih dahulu kat pintu sliding kaca tu.
“Aik, mana orangnya?” Dalam masa yang sama pintu masih lagi kuat diketuk
tapi kat depan pintu tu tiada orang. Nak kata angah, memang taklah
sebab kereta angah tak nampak lagi kelibatnya dan pintu pagar masih lagi
tertutup rapat.
“Mana orangnya..? Tercari-cari aku kat situ.
“Dum..dum..dum..” ketukan pintu masih berbunyi..
“Takde orang pun….” tetiba naik seram.
“Habis siapa yang gatal tangan pergi ketuk pintu rumah aku ni..?” Fikir aku dengan perasaan risau dan cuak.
Aku abaikan ketukkan pintu dan berlari naik ke atas semula. Di laptop
aku on bacaan al-quran dari mula. Tak cukup dengan itu, aku sambungkan
dengan speaker dan kasi full volume dia biar 1 rumah boleh dengar.
Ketukan dipintu makin kuat seakan-akan memberontak, mungkin disebabkan
aku tak buka pintu tu atau marahkan aku sebab kuatkan speaker bacaan
Al-Quran sampai tenggelam bunyi ketukan pintu dia. Tiba-tiba ketukan
pintu tidak lagi kedengaran. Sepi. Aku pelahankan sedikit volume
speaker. Dalam masa yang sama aku terhidu bau busuk dan hamis. Fahamlah
aku ada gangguan dari luar yang cuba nak usik aku. Hentah mengapa
perasaan berani, baran dan amukan yang selama ini membara dalam jiwa
aku, makin lama makin hilang, malah digantikan dengan rasa takut, gugup,
cuak dan berjiwa sensitif. “Mungkinkah kesan ni terjadi selepas aku
buang saka dalam badan aku?”.
Aku dengar seperti ada orang naik tangga. Aku intai tapi tak nampak
apa-apa pun. Aku dengar bunyi tapak kaki yang dihentak diatas tangga.
Makin lama makin dekat. Ishh, disebabkan rasa meremang, secepat kilat
aku berlari ke arah pintu bilik. Tak terpulas pula tombol pintu bilik
sebab takut punya pasal. Bila pintu dapat je aku buka, aku pun segera
masuk ke dalam. Aku menutup pintu dan menguncinya. Aku berdiri dipintu
dan perlahan-lahan terduduk. Nafas aku yang diselimuti jasad berulang
kali terhembus dengan laju dan kuat. Kelompak mata terpejam rapat dan
membayangkan gangguan yang bakal aku hadapi nanti. Kenapa benda ni
mengganggu aku? Apa salah aku? Aku cuba mengimbangi perasaan cemas
dengan bersembunyi di sebalik pintu seperti seorang pengecut dan
penakut.
Tak mampu lagi nak menahan rasa takut. Gangguan ni satu penyeksaan.
Kedengaran teramat berat dan membebankan seluruh jasad dan emosi aku.
Keluhan demi keluhan aku luahkan pada hati yang lemah ni sehingga
menampakkan betapa terseksanya aku nak hadap benda ni sorang diri. Tak
mampu nak diluahkan pada orang lain mahupun adik beradik. Bimbang ianya
dipersendakan dengan pelbagai cemuhan yang boleh menjatuhkan semangat
aku dan aku akan mudah tersinggung dengan sindiran orang.
Aku dapat rasa macam ada seseorang berlegar-legar depan pintu bilik
aku. Saat ni aku rasakan nak menjerit mintak tolong. Tetiba-tiba sahaja
pintu bilik aku diketuk dari luar dan bunyi pssttt..pssttt..pssttt..!
Dalam keadaan sedar, aku menjerit panggil nama “makkk…” (belum tahap
histeria, aku jerit disebabkan aku terkejut dan takut!).
“Ko nak apa, Hah? Aku tak kenal ko! Aku tak ganggu pun hidup ko..!!
Berambus jelah..! Menggeletar rasa seluruh jasad aku. Menjerit aku
tengking benda yang aku sendiri tak tahu, apa yang mengganggu aku masa
tu. Mengigil-gigil aku kat situ sambil peluk Al-Quran. Sempat pula aku
capai Al-Quran yang ada atas katil aku masa tu. Masa ni aku trauma gila,
sesorang kena usik benda ni kat rumah. Menjerit keluar anak tengkuk pun
tak ada orang nak tolong (jarak rumah aku dengan jiran jauh sikit)
Sepi! Tiada lagi ketukan pintu! Tiada lagi kelibat seseorang depan
pintu bilik aku. Akhirnya jantung yang berdegup pantas kini beransur
tenang. Rilek! Aku cuba hubungi angah tapi tak terangkat. Akhirnya aku
cuba minta pertolongan jiran depan rumah. Mujur aku masih ada nombor
telefonnya. Aku bagitahu ada orang ketuk pintu rumah tapi tak ada
sesiapa pula kat depan pintu tu. Katanya tiada sesiapa pulak dalam pagar
kawasan rumah aku ni. “Hmmm..meremang juga, cuba baca apa-apa surah
yang ingat. “Kalau ada apa-apa bagitahu je nanti, orang jaga kat luar
ni.” pesannya lagi buat aku sedikit lega. Akhirnya terlelap aku
disebalik pintu menanti angah dan achik pulang. Memang jiran kat situ
dah kalis dah gangguan macam ni.
Aku tersedar dari tidur pukul 7 pagi. Badan aku terasa sengal dan
lenguh mungkin disebabkan tertidur di atas lantai. Selesai solat, angah
panggil aku dan suruh aku bersiap. Katanya nak bawak aku jumpa ustaz.
Barangkali boleh ubatkan apa-apa yang patut atau buat air tawar (air
yang dibaca dan ditiup dengan bacaan suci al-quran) untuk aku. Semalam
lepas je angah ambik achik terus balik ke rumah. Tetiba jiran depan
rumah tu tahan kereta angah dan bagitahu pasal gangguan tu. Katanya
ingatkan taktik pencuri nak masuk rumah, tapi bila periksa disekeliling
rumah tiada sesiapa pula. Tapikan..! Ahh, suspen pula! “Tapi apa angah?”
Ada lintasan cahaya putih bukan bebola api tapi cahaya putih. Macam
mengawal rumah ni. Terus naik bulu roma aku masa angah cerita balik
pasal hal semalam. Cahaya putih tu, apa benda angah?”,soal aku.
“Hentahlah angah pun tak pasti benda apa!”
Malam ini, aku hanya berkurung sahaja didalam bilik. Seperti biasa
seusai solat, aku habiskan masa dengan mengaji Al-Quran. Pesan ustaz,
pendinding diri kita ialah solat! Jangan pernah tinggalkan solat 5 waktu
sehari semalam dan tenangkan hati kita dengan mengaji. Kalau perempuan
yang Allah bagi cuti tu boleh amalkan sikap suka berwuduk sebagai
pendinding diri dan kerap berzikir. Aku cuba tanya ustaz kenapa aku dah
buat semuanya tapi masih lagi kena ganggu? Apa lagi yang dia mahu dari
aku? Al-Quran aku dah khatam berkali-kali dan solat aku tak pernah
tinggal walaupun sakit macam mana pun, solat tetap solat kecuali uzur!
Katanya orang yang selalu buat amalan memang jadi pilihan diorang untuk
menguji korang. Anggap je ini ujian hidup untuk dekatkan lagi diri
dengan Allah.
Esoknya, kitorang packing pakaian masing-masing dan tidur di office.
Rumah, kitorang hanya balik waktu petang sahaja untuk buka semua lampu,
supaya malam nanti tak adalah rumah kitorang bergelap dan belah pagi
pula, kitorang balik untuk tutup semula semua lampu. Huh, begitu laa
kitorang hadap sampai mak dan abah balik dari umrah. Dah macam pelarian
je kitorang adik beradik masa tu. Bila mak dan abah pulang dari umrah.
Waktu tu kitorang belum juga, bagitau hal sebenar. Almaklumlah, sibuk
pulak nak buat persiapan si angah ni yang tak lama lagi dah nak kahwin.
Aku masih lagi diganggu tapi berkat air tawar yang dibuat oleh ustaz
dengan bacaan suci al-quran, sedikit sebanyak membantu aku memulihkan
semula semangat aku (pendinding diri) untuk melawan rasa takut terhadap
gangguan ini.
Yang hairannya kenapa aku sorang je yang kena ganggu..? Adik beradik
dan mak aku kekadang je kena kacau. Kacau pun hanya dengar suara orang
berbisik je pada waktu malam. Abah aku langsung tak kena kacau apa-apa.
Kata ustaz semangat abah aku kuat. Patutlah kalau aku bagitahu pasal isu
ni, abah kata aku ni ikut perasaan sangat. “Gangguan apanya lagi ni?”
“Saka tu kan dah buang dah.” “Jangan dilayan sangat perasaan tu!”
Macam mana aku ini nak buang perasaan ni, kalau setiap hari aku duduk
hadap benda yang sama je. Aku siap boleh sentuh, lihat, bau dan dengar
apa yang diorang cakap walaupun kekadang kurang jelas sebutan yang
diborakkannya, tapi serius bingit telinga bila kau nak tidur tetiba
terganggu dengan bisikan diorang. Itu belum lagi part mimpi lagi. Kalau
aku mimpi, mesti akan berlaku balik dalam kenyataan sebenar dan situasi
keadaan sebiji copy paste dari mimpi aku tu. Sampaikan aku dapat rasa
waktu aku tidur ni, mesti roh aku ni keluar merayap pergi ke tempat
diorang, kang?
Usikan!
Hari demi hari aku biar je benda ni usik aku. Kalis dah setiap
usikannya. Kena cuit tu perkara biasa bagi aku. Aku abaikan je sehingga
benda ni dah berani tayang rupanya depan aku, sudahlah masa tu aku
berkumpul dengan family. Yang pasti hanya aku je yang nampak. Korang
bayangkanlah, aku ralit duduk sama-sama dengan family aku kat meja
makan, tengah suap nasi tu, aku nampak kelibat orang berpakaian serba
putih turun dari tangga dan lalu kat belakang adik ipar aku (wife angah)
sepintas lalu dan menghaib menembusi dinding. Aku tengah kunyah makanan
terus tersedak. Sakit perit aku rasa tapi lagi pedih bila diorang cakap
aku gelojoh sangat makan. Woii, aku makan sipu-sipu kau. Kepit-kepit
lagi. Huh, tang mana gelojohnya? Tapi takkan nak bagitahu ada mambang
yang gitu-gitu bolos dinding rumah kita. Kalau aku bagitahu, nanti apa
kata adik ipar aku pulak? Serba salah jadinya, so pengalah jelah
jawabnya sambil bedal air sirap 2 jug nak hilangkan perit ni.
Belum lagi bab solat. Tengah solat berjemaah dengan keluarga aku,
hentah dari mana laa kain putih tergantung elok kat atas siling rumah.
Aku tengah solat tetiba terganggu dengan sesuatu yang lalu. Dari sisi
tepi hujung ekor mata, aku terperasan ada kain putih seakan-akan
selendang terjuntai kat siling, aku pun terus pejam mata dan habiskan
solat sampai selesai. Dah selesai solat barulah aku berani buka mata dan
tengok semula di siling atas tersebut. Namun kain putih yang menyerupai
selendang tu dah tiada kat situ. Aku cuba tanya adik aku si usu dengan
achik tentang kain ni. “Usu, achik, ko perasan sesuatu tak?”, soal aku.
“Tak” jawab usu. “Tak pun!”, bidas achik. “Hmmm..sah, hanya aku jelaa
yang nampak kain tu!” bisik hati kecil aku.
Ada sekali tu, mak mintak aku ambil daun kari dengan daun pandan kat
belakang rumah. Aku pun tak membantah terus keluar nak pergi ambil apa
yang mak mintak. Tiba-tiba ada ayam menonong je dalam kawasan rumah aku.
Kalau tengok macam ayam hutan. Kemudian menonong masuk kat bawah pokok
serai yang merimbun lebat hingga ke tanah. Aku hairan jugak, macam mana
ayam ni boleh ada kat dalam kawasan rumah aku ni? Sedangkan pagar tinggi
dan tertutup rapat kot. Takkan terbang?
Tunggu punya tunggu langsung tak keluar-keluar dari bawah pokok serai
tu. Last-last bunyi suara mak yang laung dari arah dapur sebab lambat
ambil daun yang dimintaknya. Cepat-cepat aku pergi petik daun kari
dengan daun pandan. Tapi serius ayam tu tak keluar-keluar pun dari bawah
rimbunan serai tu! Jangan-jangan ada lubang kut? Lubang apa pula tu?
Bimbang betul aku kalau-kalau itu lubang ular! Tak berani aku nak pergi
selak serai merimbun atas tanah tu. Ikutkan akal cuak aku ni, nak aje
aku bakar serai yang abah tanam ni! Pastu kita tanam serai yang baru
gantikan serai yang lama. Tunggulah ada masa nanti aku bakar!
Ada satu kisah dari sepupu aku. Masa tu rumah aku ada majlis kahwin
si angah ni, jadi dia pun tumpang tidur kat rumah aku. Malam dia tidur
rumah aku tu, dia ada bermimpi ada orang lelaki tua lengkap berjubah dan
berserban putih, datang menegur dia. Dia ni pun cuba tanya orang tua
tersebut, buat apa kat sini (rumah aku)? Kata orang tua tu dia datang
singgah sebentar dan siap bagitahu orang kat dalam rumah ni semuanya
baik-baik. Katanya lagi, dia tertarik melihat hubungan rapat kami
sekeluarga dan mahu menjaga keselamatan penghuni dalam rumah ni
(keluarga aku).
Bila sepupu aku ni terjaga dari tidur. Tengok hp baru pukul 3 pagi.
Dari luar dia dengar suara orang lelaki berdehem-dehem kat depan pintu
biliknya, padahal dalam rumah aku masa tu semua orang lelaki tak tidur
pun kat rumah aku. Diorang sewa rumah tumpangan kat hujung belah depan
rumah aku. Jadi semua lelaki termasuk pengantin lelaki (si angah) semua
pakat tidur dirumah tumpangan. Rumah aku pula, hanya kaum wanita je yang
tinggal.
Terus sepupu aku ni tanya aku ada hantu ke kat rumah aku ni? Tapi aku
cuba bagitahu dan sedapkan hatinya yang mimpinya itu hanya mainan tidur
je. Tak ada apa-apa pun dalam rumah aku ni. Walaupun kenyataannya rumah
aku ni tempat laluan makhluk ghaib ni. Jadi aku dah terbiasa dah kalau
terserempak atau mimpi pelik-pelik. Kalau kau solat, tetiba terasa macam
ada orang ikut kau solat dari belakang, kau buat tak tahu sudahlah.
Kalau kau tengah mengaji tetiba dengar ada suara lain yang turut
membaca, kau biarkan ajelah. Abaikan semuanya.
Bukan abah tak pagar (pendinding) rumah kitorang dari gangguan luar,
dah banyak kali buat tapi semua tak tahan lama. Dalam seminggu je ianya
bertahan, lepas seminggu, gangguan ni akan start balik mengacau. Tapak
rumah aku ni laluan diorang. Banyak lagi kejadian pelik yang tak pernah
habis. Kalau abah jual rumah ni..ada tak yang nak beli?
Buatan orang!
Rasulullah saw bersabda, “Hindarilah dengki kerana dengki itu memakan
(menghancurkan) kebaikan sebagaimana api memakan (menghancurkan) kayu
bakar.” (HR Abu Daud).
Pernah sekali angah balik rumah dan bagitahu badan dia miang
gatal-gatal. Dah pergi klinik tapi tak menjadi. Malam tu aku suruh angah
mandi dengan air ustaz yang selalu aku buat minum ni. Katanya lepas
mandi, badan dia keluar benda habuk hitam-hitam banyak sangat. Kemudian
bila dah habis keluar habuk hitam-hitam ni, naik pulak bintik-bintik
kecil seakan meremang. Aku dah syak lain macam kat angah ni. “Ko ada
pergi mana-mana ke sebelum ni?”. “Hah, ko ada pergi memancing kat
mana-mana tak?”, Soal aku pada angah. Angah terdiam dan geleng kepala.
Hentah kenapa aku tak sedap hati. Macam ada sesuatu yang akan terjadi.
Bila dekat je dengan angah, aku rasa macam ada aura jahat yang lain
macam ada disekeliling angah. Aku tak pandai nak terangkan macam mana
rasa dia. Seram sejuk je masa tu.
Tengah soal angah tetiba bini angah menjerit, menangis macam kena
histeria. Aku nampak mak panik kat tepi bini angah sambil tu mintak abah
cepat-cepat azankan kat bini angah ni. Menjerit pula bini angah sambil
tutup telinga. Terpaksa angah pegang tangan bini dia. Menjerit sambil
menangis bini angah mintak hentikan azan tu. Semua panik dah jadi kelam
kabut campur huru hara. Aku cepat-cepat bawak air ustaz dan jirus terus
atas kepala bini angah. Fuh! Selamat. Habis basah, satu botol aku
jiruskan. Semua terdiam. Situasi yang kelam kabut dah kembali reda. Bini
angah dah sedar dari histeria. Aku punya stok simpanan air tawar yang
ustaz buat ni berguna jugak bila ada kecemasan macam ni. Aku buka botol
satu lagi dan tuang air ke dalam gelas. Aku suruh bini angah minum air
ustaz ni. Mak gosok belakang bini angah suruh tenang dan baca apa-apa
yang patut. Achik dan usu pula yang tadinya menggelabah tak tentu pasal
sekarang hanya jadi pemerhati jarak jauh (takutlah tu).
Bila dah ok tetiba pintu rumah kitorang diketuk. Bila buka family
bini angah datang rumah. Rupanya angah mintak achik call ayah mertuanya
dan suruh diorang datang segera sebab biasanya kalau bini angah
histeria, ayah dia ni pandai juga mengubati dan pulihkan balik sesiapa
yang kena histeria atau terkena gangguan luar ni. Kata ayahnya, banyak
betul halangan nak boleh ke sampai di rumah aku ni. Patutlah diorang
lambat sampai. Bila isteri anggah sedar dari histeria, baru diorang
sampai kat rumah kitorang. Aku setakat ni belum pernah kena histeria
lagi. Harap-harap tak kenalah ekk! Risau aku. Lagi risau bila tengok
live depan mata, orang yang kena histeria ni. Seram siot aku rasa.
Melolong, memekik dengan pandangan mata tajam perhatikan sesiapa yang
cuba mendekatinya.
Aku tanya dia apa yang berlaku sebentar tadi? Semasa dia tengah borak
dengan mak, dia nak ambil barang dalam bilik kejap tetiba dia rasa
meremang je. Dari dalam bilik dia nampak lembaga hitam besar sangat
keluar dari almari pakaian. Disebabkan rasa takut sangat, dia
menjeritlah dan berlari pergi dekat mak. Terus rasa gelap mata. Tak
sedar apa yang berlaku lepas tu. Aku tanya dia masa abah azan kenapa
tutup telinga pastu jerit-jerit? Dia cakap benda hitam besar ni nak
tolak abah kat tangga! Disebabkan risau campur takut terus jadi tak leh
nak kawal. Dia nak bagitahu ada benda kat belakang abah tapi tiba-tiba
mata jadi gelap balik macam buta sekejap terus dia tak sedar. Yang dia
sedar balik bila air yang aku jirus tu, kena pulak kat mata dia, itu
pasal dia sedar semula. Mata dia dari gelap (tak nampak) dah cerah (dah
boleh lihat). Cepat-cepat dia mintak maaf kalau-kalau dalam tak sedar tu
dia ada jerit-jerit kat kitorang. Aku faham situasi tadi jadi tak
salahkan dia. Benda yang ganggu dia tu mesti benda yang sama kacau
angah.
Esokkan dalam pukul 10 pagi kitorang pergi ke rumah ustaz. Ustaz tu
cakap buatan orang. Siapa tu? Ustaz taknak bagitahu tapi anggap je semua
yang berlaku dugaan dari gangguan luar. Tengah ubatkan si angah
tiba-tiba tangan ustaz naik bintik-bintik kecil yang terjadi sama macam
angah kena. “Tengok ni, saya pula kena serang!”, kata ustaz pada angah.
Ustaz buat air tawar untuk angah dan bininya sambil tu aku tumpang
sekali mintak ustaz buatkan air tawar untuk aku jugak disebabkan air
tawar yang ustaz buat dulu tu aku dah kasi angah mandi semasa angah
miang gatal-gatal tubuh badan dan baki selebihnya lagi dah selamat aku
jirus pada bini si angah ni masa kena histeria.
Dua hari sebelum angah dan bini dia ni kena buatan orang, ada rahsia
yang aku tak bagitahu sampai sekarang ni. Cuma dalam ni je aku
bongkarkan rahsia yang selama ni aku simpan. Pada waktu maghrib sebelum
tu, aku nak pergi ke tandas, bila buka pintu bilik air tu, aku nampak
ular hitam kat atas lantai bilik air. Bila ular ni nampak aku, terus dia
ghaib, hilang macam tu aje. Meremang aku rasa masa tu. Terus aku rasa
tak sedap hati pasal ular hitam ni. Tak tahu laa aku ular ni tergolong
dalam makhluk apa. Buniankah yang menyamar? Atau.. jin kafir yang
dihantar penyantau? Malam tu aku buat solat hajat dan tahajjud untuk
minta petunjuk dan mohon melindungi kami sekeluarga dari sebarang
ancaman bahaya.
Keesokan sehari sebelum diorang kena, aku ada mimpi lagi (petunjuk)
ada sorang perempuan yang pegang rambut panjang sangat kat tangan
kanannya sambil mulut terkumat kamit membaca sesuatu (mentera kot!).
Jujur aku cakap, aku tak kenal siapa perempuan ni. Selidik punya
selidik, rupanya budak ni satu office dengan bini angah ni. “Hmmm, mesti
kes dengki kat bini angah ler ni!”. Tapi aku tak cukup bukti nak tuduh
budak perempuan ni. Jadi aku diamkan aje. Patutlah ustaz tanya aku
kenapa aku tak cuba rawatkan. Disebabkan aku tahu siapa yang buat ni.
Bukan aku tak nak pulihkan dan merawat mereka ni dari gangguan luar.
Aku bukan power ranger. Aku tak kuat dan masih baru lagi. Kalau aku buat
juga, aku bimbang benda ni serang aku pula. Aku tak kuat nak lawan
benda ni sorang-sorang. Aku pernah cuba tapi aku pula yang sakit balik
(kena serang) dan untuk pulihkan balik diri aku ni, makan masa yang
cukup lama…
Aku kongsikan sikit, jika rumah atau pejabat korang dipercayai
terkena sihir atau santau, baca surah Al-Kautsar ini 10 kali,
mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi petunjuk pada kita dimana letaknya sihir
itu. Petunjuk mungkin melalui mimpi atau korang tergerak hati nak lihat
sesuatu kat tempat tersebut. Surah ni paling pendek dan mengandungi 3
ayat sahaja. Tak salah kalau kita amalnya selalu bukan hanya baca
setakat 10 kali sahaja, baca berkali-kali pun tak mengapa, kerana surah
ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. Mungkin
boleh hiburkan perasaan korang lepas ni yang berasa sedih atau yang
selalu komen marah-marah tu, biar stabil sikit emosi tu!
Yang terbaru sekali, aku nampak lelaki berpakaian serba hitam keluar
dari bilik office angah dan ghaib macam tu je. Masa tu aku tolong angah
kira stok. Pastu angah tinggalkan aku sorang-sorang sekejap, nak beli
air katanya. Aku pun biarkan jelah, sambil tu sambung kira stok sampai
habis. Tiba-tiba aku nampak kelibat lelaki berkulit cerah pucat dan
berpakaian serba hitam keluar dari bilik office angah sambil cerlung
matanya pada aku dan ghaib tak tahu pergi ke mana. Aku hairan jugak
siapa pula lelaki tu, sedangkan aku sorang-sorang je kat sini dan angah
pula tak balik-balik lagi dari beli air. Meremang seluruh jasad sampai
kepala aku rasa kembang mengembang. Pasal ni, aku tak dapat nak kongsi
banyak-banyak sebab angah dalam berubat lagi. Tulah mata aku ni cepat
sangat nampak, kang? Kekadang berasa lemah juga sekali nampak
benda-benda macam ni.
Pocong!
Korang tahu tak apa yang aku perasan kat hujung semak kat paya tu?
Ada pocong! Kejung je kat situ. Banyak kali aku dengar jiran-jiran kat
situ bergosip pasal pocong ni. Pocong ni tak adalah kacau orang kat
sini, tapi tak amanlah kalau kau nak keluar rumah nak ambil barang dalam
kereta. Tetiba terpandang makhluk berbungkus serba putih macam mayat
kat bawah pokok tepi paya tu. Masa tu dalam pukul 12 lebih dah (malam)
tengah kemas apa yang patut. Kitorang baru selesai buat BBQ dengan
keluarga dan jemput juga jiran-jiran terdekat. Yang aku sedar si pocong
tu kat situ, bila jiran aku ni duk borak kat luar sambil hisap rokok,
tetiba je diorang duk buka topik hujung tu ada pocong! “Ko nampak tak?”,
soal Zam Mery pada Nik! “PO..berani kau CONG aku ni?”, sindir Nik. Aku
bila dengar diorang riuh kat luar, cuba intailah! Sekali aku hendap dan
skodeng “Mak oii..” kejung je benda ni kat bawah pokok.
Hairan aku diorang siap bergurau lagi dengan benda ni. Nampak sangat
dah terbiasa kena gangguan sampai dah kalis rasa takut. “Yuhuu, tak
lenguh ke berdiri lama tu? Makk ada kerusi kat sini, yuhuu” ,laung Zam
Mery sambil gelak. Si Nik pula menyambung. “Nah, puting rokok aku ni,
ambil ko hisap, sambil-sambil ko berdiri tu, ada benda laa nak
dibuatnya!”, campak puting rokok sambil laung ke arah pocong tersebut.
Aku pun tak tahu ler nak kata apa kat Zam Mery dengan Nik ni. Selamber
badak je diorang kacau pocong tu, bukan pocong tu yang kacau diorang.
Tak tunggu lama aku terus masuk ke rumah dengan adik-adik aku dan
bersihkan diri. Bila aku tanya ustaz katanya dari perkampungan bunian,
tempat pocong tu muncul. Aku pun tak tahulah apa kaitan pocong dengan
bunian! “Adakah bunian ni menyamar menjadi pocong?”.
Sampai sekarang makhluk ni ada lagi kat situ, dalam kul 1 ke atas
mesti si PO ni muncul. Aku bukan jenis reka-reka cerita! Sumpah demi
Allah aku tak tipu! Kalau terserempak terus kaku nak baca surah yang
ingat. Last-last aku hanya mampu sebut A’uzu billahi minashaitanir rajim
dan terus pecut masuk ke dalam rumah.
Mimpi aneh (berjaga-jaga)!
Yang terbaru sekali malam jumaat! Aku tidur lewat sikit dalam 12.30
malam. Aku bermimpi sesuatu yang buat aku jadi bertambah risau dan
takut! Risau kalau-kalau mimpi kali ni jadi nyata. Takut juga aku kalau
aku dah tak tinggal kat dunia nyata ni! MasyaAllah, minta dijauhkan!
Mintak dijauhkan! Makbulkanlah doa aku ni! Aaminn. Mimpi apa ni
woiii..???
Aku bermimpi berjalan dikawasan semak kat dalam hutan paya tepi rumah
aku ni. Dalam mimpi ni, aku dibawa oleh seorang perempuan tua. Aku
hanya ikut je tanpa banyak soal dan kitorang pun sampai di sebuah
perkampungan lama. Sungguh indah sekali dan nyaman udaranya. Kedengaran
suara orang yang sedang membaca Al-quran dengan suara yang amat merdu
sekali.
Aku perhatikan kaum wanita mengenakan tudung yang labuh dan ada yang
memakai purdah. Kanak-kanak perempuan pula rambut panjang paras
pinggang. Mereka semua memandang aku dengan ramah dan senyuman. Banyak
kali aku mendengar mereka memberi salam pada aku. Pakaian mereka semua
sungguh cantik dan unik. Rumah mereka pula beratapkan nipah dan dinding
pula diperbuat dari buluh-buluh yang besar. Sejuk mata memandang..
Kat sana aku lihat kaum lelaki sedang mengukir sesuatu pada kayu-kayu
yang dipotongnya. Urat-urat kayu yang cantik diukir dan diolah
membuatkan ukirannya kelihatan seperti dilukis. Halus dan berseni
ciptaan tangan mereka.
“Ah..cantiknya permandangan sini..macam perkampungan islam sebenar..” bisik hati kecil aku seakan melonjak riang.
Aku dibawa ke salah sebuah rumah disana. Teragak-agak aku hendak naik
ke rumah tersebut. Nenek tua ini, menjemput aku masuk ke dalam
rumahnya. “Ini rumah nek..” katanya sambil tersenyum memandang aku.
Mesti dia dapat mengagak apa yang aku tengah fikirkan. Aku melangkah
masuk ke dalam rumah tersebut. Dindingnya dihiasi dengan pelbagai seni
tulisan ayat-ayat suci Al-Quran dan beberapa tulisan jawi purba. Sungguh
indah sekali. Sesekali aku terasa seperti berada di zaman klasik yang
lama.
Aku disuruh memilih bilik untuk berehat. Masa aku tidur lena diatas
lantai buluh tersebut, aku dikejutkan dengan satu suara. Aku membuka
mata dan memandang suara garau tersebut. “Bangun… bangun cu solat
subuh..” kata nenek tua itu pada aku. Kemudian aku dibawa ke sebuah
tempat untuk mengambil wuduk dan bahagian depannya pula ruang solat
namun aku terasa terganggu dengan kelibat ramai perempuan yang memakai
telengkung solat dan berbaris memenuhi ruang saf. Sungguh ramai! Nenek
tua itu menegur kelakuan aku yang memerhati setiap orang disitu.
“Ramainya..?”, bisik aku. “Cu..ambil semula..!!”, tegur nenek tua tu
pada aku kerana aku bercakap semasa berwuduk. Hentah kenapa aku jadi
bingung melihat orang-orang kat sini. “Aku ni dah mati ke..??”, soal aku
pada nenek tua tersebut. “Cu..ambil semula..”, pesan nenek tu lagi.
“Aku nak balik!” “Hantar aku balik!” Nenek tua tersebut memandang tajam
ke mata aku. Aku cuak. Kemudian nenek tersebut tersenyum dan berkata
“Kau belum bersedia lagi cu…satu hari nanti, nek akan bawa kau kesini
lagi..” terus nenek tua tersebut hilang seperti kepulan asap. Terus aku
terjaga dari tidur!
Masa aku terjaga tu, aku dapat rasa seperti roh aku dicampak ke jasad
aku yang tengah syok berbaring diatas katil. Bangun je dari katil, aku
terasa tulang belakang aku sakit. Sejak tu aku terbatas nak buat
sesuatu. Sebulan lebih tulang belakang aku sakit. Dibahagian tengkuk
pula terasa sakit berdenyut-denyut. Kemudian rasa sakit tu menular
hingga ke bahu belah kanan hingga tangan kanan terasa kebas. Azabnya aku
menahan kesakitannya sehinggakan aku terpaksa menelan ubat saraf
setelah disarankan oleh doktor. Selama tu juga aku demam panas dan sakit
kepala hingga ke mata. Mata aku macam kena cungkil je.
Sementara itu juga aku tak putus asa menahan rasa sakit ni dan buat
solat hajat dan solat tahajjud supaya kesihatan aku ni pulih kembali.
Serius aku tak tahu macam mana nak pulihkan balik. Macam mana nak jauhi
benda ni. Aku bimbang pesanan terakhir nenek tua tersebut. Aku tak nak
pergi kat tempat diorang. Tak nak ada apa-apa kaitan langsung dengan
benda ni. Kenapa aku yang dia pilih?
Tapi setiap kali aku masuk bilik
tidur aku, kat belakang pintu mesti aku rasa seperti ada orang
berpakaian serba putih dengan rambut panjang beruban. Aku harap bukan
orang tua yang aku mimpikan itu. Sejak tu aku kurang balik rumah dan
banyak tidur di office abah.
sebelum tu, ada sedikit ilmu yang aku nak kongsikan. Nanti kalau
sakit kat anggota badan atau tak sedap hati bolehlah amalkannya!
•Letakkan tapak tangan kanan pada tempat yg sakit.
•baca bismillah (3x)
•baca:-
“A’uudzu billahi wa qudrotihi min syarri maa ajidu wa uhaadziru”
(Akuberlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari keburukan yang sedang aku rasakan dan yang aku khawatirkan)
(HR Muslim)
Bekam (sunnah nabi)
Kini aku dah hampir pulih sepenuhnya setelah aku bermimpi didatangi 2
orang lelaki berpakaian jubah putih yang menyuruh aku mencari “air yang
tidak jatuh ke bumi” . Pada mulanya aku bimbang nak ikut, tapi kata
ustaz anggap je sebagai ikhtiar bagi merawat rasa sakit aku ni. Air
tersebut dibaca dengan bacaan suci Al-Quran.
Kemudian aku ikut abah pergi berbekam. Aku pula pada mulanya nak
temankan abah je, tapi bila akak (kak Ja) yang berkhidmat di bahagian
wanita (bekam). Dia inilah mensyorkan aku untuk menjalani rawatan urutan
badan. Setelah aku bagitahu tulang belakang, bahu, dan tangan belah
kanan aku sakit sangat. Setelah rawatan moden tiada jalan penyelesaian.
Sampaikan ubat habis aku telan tapi masih lagi terasa sakitnya.
Jadi aku ambil jalan mudah untuk berurut. “Urutan ini mampu
melancarkan peredaran darah didalam badan kita!”, terang kakJa pada aku.
Selepas rawatan urutan badan dilakukan, kata KakJa pengaliran darah
kotor jadi lebih banyak. Jadi langkah seterusnya aku ikut pula sunnah
nabi untuk berbekam. “Berbekam ni juga, boleh mengenalpasti samada
pesakit mengalami gangguan makhluk halus atau tidak”. “Macam mana
KakJa?”, soal aku seakan tertarik dengan topik ni. “Biasanya mereka yang
disyaki mengalami gangguan, tapak bekasan bekam akan ada tanda-tanda
tompokan hitam dan darah mereka juga darah bertali.” Betullah kewujudan
jin dan syaitan ini sendiri ada ditulis didalam al quran. Makhluk Jin
ini sangat suka mendiami dalam darah manusia.
Sabda RASULULLAH SAW:
“Kesembuhan itu berada pada tiga hal, iaitu
minum madu, torehan pisau bekam dan bakar dengan api panas (kay).
Sesungguhnya aku melarang ummatku berubat dengan kay”
Hadis sahih Al-Bukhari
Kata KakJa lagi, titik bekam di kawasan tengkuk adalah lokasi yang
terbaik di mana pembuluh darah utama badan memang melalui titik
tersebut, dan apabila proses bekam dilakukan kesemua darah kotor, racun,
toksin mahupun sisa sihir atau gangguan luar yang ada diseluruh badan
pastinya dapat disedut kerana tengkuk dan bahu adalah laluan utama yang
menghubungkan otak kepada sistem peredaran darah. Akhirnya aku rasa
badan lebih ringan dan segar. Sakit tak berbekam? Syok! Macam kena gigit
kerengga.
Setiap ujian yang Allah turunkan itu pasti ada hikmah di sebaliknya.
Kesabaranlah menjadi teman kesakitan aku. Dalam kesakitan ini baru kita
sedar diri kita hanya hamba yang menumpang hidup dimuka bumi ini. Begitu
juga ketabahan aku hadapi cemuhan korang. Aku sedar kesilapan aku tapi
agak melampau kata cela korang untuk aku ambil sebagai pengajaran.
Alhamdulilah! Maka bersyukurlah dengan apa saja yang Allah kurniakan
pada kita. Kita akan melalui pelbagai-bagai dugaan untuk menguatkan
keimanan kita dan memahami diri kita sendiri. Allah menentukan ujian
buat kita, tetapi kita yang menentukan arah pilihan kita. Andai kata
kita menghadapinya dengan redha, maka ujian berlalu dengan ringkas dan
lancar. Namun, kiranya kita memberontak dengan ujian yang ada, maka
ujian akan menjadi sukar dan berpanjangan. Sebelum tu ada sesuatu aku
nak berpesan seikhlasnya. Korang jangan sentap pulak ye..!!
Menghukum daripada beri penyelesaian!
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan
janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka
yang melampaui batas” (al-Baqarah : 190)
Apabila korang asyik mengkritik, korang lupa nak memberi
penyelesaian. Tidakkah ianya dipanggil kecelaruan? Apabila korang
menjumpai sedikit kesilapan, korang terus menghukum sekeras-kerasnya!
Seharusnya korang sedar setiap apa-apa yang dipersembahan, pasti akan
ada cacat celanya. Tapi! Perlukah korang memulaukannya? Jadi berfikirlah
dengan baik bagaimana nak menggunakan ilmu yang kita ada. Bersikap
rendah dirilah biarpun kita berilmu tinggi kerana ilmu kita hanya
secebis saja. Bersopan dan berbudi bahasalah dengan sesiapa saja. Aku
sedar ada masa aku ada buat salah dan silap tapi seeloknya teguran tu
biarlah berhemah secara berjemaah, tidak perlulah terlampau menolak
terus bagaikan sampah (sampah pun kalau dikitar semula ada juga
nilainya), jangan pulak korang menghinanya tanpa sebarang penilaian
lanjut dan jangan korang terlampau obses secara berjemaah menghentam
atau memperlekehkan kesilapan serta kesalahan orang lain tanpa memberi
penyelesaian.
Aku ZERO (
legasi pusaka &
si baran-papah)
~Tamat~
Sumber: Fiksyen ShaSha
ps:Admin tertarik dengan cerita ini dan ianya
sesuai dijadikan teladan kepada insan yang mengalami perkara yang hamper sama.
Apa yang tertarik ialah tips dan doa-doa yang boleh diamalkan sentiasa. Semoga
ianya dapat dijadikan pengajaran bersama. Wallahualam. Wassalam.